![]() |
| [Gambar Hiasan] |
وَلْيَخْشَ ٱلَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا۟ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةًۭ ضِعَـٰفًا خَافُوا۟ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْيَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًا ٩
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ نَارًۭا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًۭا ١٠
[Surah An Nisa : Ayat 7 - 10]
Ayat
7: Ini adalah hukum kelima. Ianya
tentang harta peninggalan orang yang mati. Sikit atau banyak, harga itu ada
penerimanya. Maka kena dijalankan pembahagian harta itu mengikut hukum
yang Allah telah tetapkan. Jangan lakukan kezaliman dengan tidak
memberikan kepada mereka yang berhak.
Ianya adalah zalim sebab tuan asal dah mati dah untuk memberikannya
sendiri dan memastikan harta itu sampai kepada warisnya. Kita yang masih hidup
inilah yang kena pastikan ianya sampai kepada mereka yang patut disampaikan.
Ayat ini adalah penting kerana ia memberitahu kepada umat Islam bahawa
wanita juga layak untuk mendapat bahagian dari harta pusaka. Ini tidak pernah
diberikan dalam masyarakat Arab sebelum itu.
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
MALAY
Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan
kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan
ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan
itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ
Untuk
orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,
Bagi lelaki ada bahagian dari harta pusaka dari yang ditinggalkan oleh
ibubapanya dan kaum kerabatnya. Yang jelas, seorang anak akan mendapat harta
peninggalan dari ibu dan bapanya.
Tapi dalam ayat ini disebut juga dari ‘kaum kerabat’. Ianya adalah
keluarga dekat yang termasuk dalam ashabul furud –
mereka yang layak menerima faraid. Bukanlah semua ahli keluarga layak mendapat
harta faraid itu. Kena tengok senarai yang akan diberikan nanti.
وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ
dan
orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan
kerabat,
Orang perempuan pun layak dapat harta pusaka dari ibubapa mereka dan
dari kaum kerabat mereka. Ini adalah benda baru dalam masyarakat Arab.
Sa’id ibnu Jubair dan Qatadah mengatakan bahwa dahulu orang-orang musyrik
memberikan hartanya kepada anak-anaknya yang besar-besar saja, dan mereka tidak
mewariskannya kepada wanita dan anak-anak.
Dulu para wanita tidak layak dapat bahagian apa pun, malah mereka itu
sendiri jadi harta. Mereka sendiri diserahkan kepada orang lain macam
mereka barang sahaja. Sampai anak pun boleh warisi isteri bapanya. Mereka tidak
dipandang sebagai layak menerima harta pusaka kerana sumbangan mereka kepada
keluarga tidak banyak.
Mereka tidak dapat bekerja kuat, tidak dapat berperang untuk
mempertahankan keluarga, maka kerana itu mereka tidak mendapat bahagian.
Kanak-kanak pun begitu juga kerana tidak memberi sumbangan pun. Begitulah yang
terjadi apabila seorang sahabat bernama Aus bin Tsabit meninggal dan isterinya
dan anak-anak yang muda tidak mendapat bahagian hartanya tapi sepupu
anak-anaknya yang datang ambil semua harta. Isteri Aus telah mengadu kepada
Rasulullah dan Allah telah menurunkan ayat ini.
Tapi lihatlah bagaimana Islam dah mulakan dulu untuk menjaga hak-hak
wanita. Kalau sekarang kita lihat orang Barat pun hendak menjaga hak-hak
wanita, mereka pun baru sahaja memulakannya sedangkan Islam sudah lama buat
pun.
Lihatlah bagaimana Allah telah mengkhususkan hak wanita kepada harta
pusaka dalam ayat ini. Allah boleh sahaja berfirman: “lelaki dan perempuan ada
hak ke atas harta pusaka….”. Tapi Allah telah pecahkan ayat itu: mulanya Allah
sebut tentang hak lelaki dan kemudian Allah sebut tentang hak perempuan. Ini
supaya nampak jelas ada hak wanita. Kalau digabungkan sekali dalam satu ayat,
mungkin tidak jelas.
Jadi secara efektif, Allah telah meletakkan hak wanita sama sahaja
dengan hak lelaki. Islam telah lama mempertahankan hak-hak wanita.
Malangnya, sekarang ada orang yang mentohmah mengatakan agama Islam
menindas wanita dan tidak adil kepada mereka. Ini terjadi kerana mereka tidak
belajar tentang Islam dan mereka telah ada bias terhadap agama Islam. Oleh
kerana ada bias, semua yang dari Islam mereka kata buruk sahaja.
مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ
sama
ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu;
Sama ada harta itu sedikit atau banyak, ianya perlu dibahagikan mengikut
ketetapan yang Allah telah tetapkan – bukan sama rata. Harta yang sedikit, buat
cara sedikit dan harta yang banyak, buat cara banyak.
Janganlah kalau harta itu sedikit, maka ahli keluarga buat cara senang
sahaja, sampai sudah tidak ikut cara faraid pula. Ini tidak boleh. Dalam setiap
pembahagian harta pusaka, kena diberikan mengikut ketetapan yang Allah telah
letakkan.
Sila perhatikan ayat ke 7 ini mengatakan lelaki dan wanita ada hak
masing-masing. Ia tidak meletakkan asas keperluan sebagai penentu. Maka setiap
orang ada bahagiannya, walaupun dia mungkin orang yang kaya dan tidak
memerlukan. Jadi pembahagian itu sama rata sahaja.
Sebaliknya, kedudukan antara si mati dan penerima itu yang menjadi
penentunya. Mereka yang lebih rapat dengan si mati akan mendapat bahagian yang
lebih banyak. Walaupun mungkin orang yang jauh kedudukannya dari si mati
mungkin lebih memerlukan. Hikmahnya kerana ‘keperluan’ itu amat subjektif dan
sukar ditentukan. Nanti akan berhujah banyak pula siapa yang lebih layak dan
tidak habis-habis berkelahi pula.
Ayat ini juga menolak amalan sesetengah orang yang memberikan barangan
tertentu kepada orang tertentu. Sebagai contoh, kalau si mati meninggalkan
kuda, maka kuda itu automatik diberikan kepada lelaki kerana dia yang
menggunakan kuda itu untuk berperang, contohnya. Logik ini tidak terpakai dalam
pembahagian harta pusaka. Semua orang tidak kira lelaki atau wanita, ada hak ke
atas kuda itu.
Sikit atau banyak barang peninggalan dari si mati hendaklah diberikan
kepada penerima harta pusaka. Ini termasuklah pinggan mangkuk, baju dan
benda-benda lain yang ramai anggap sebagai kecil dan ringan. Maka ada yang
siap-siap sudah disedekahkan kepada orang lain. Sedangkan mereka yang layak
menerimanya dahulu adalah penerima harta pusaka.
Berikan dulu kepada penerima pusaka dan kalau mereka mahu berikan kepada
orang lain, maka biarlah mereka sahaja yang buat keputusan itu. Dan pastikan
yang memberi itu adalah orang dewasa, kerana kalau kanak-kanak belum baligh,
mereka tidak layak untuk buat keputusan itu kerana akal mereka masih lemah
untuk buat keputusan.
Bagaimana dengan pengurusan jenazah si mati? Adakah boleh diambil dari
harta peninggalannya? Boleh diambil sebelum harta itu sudah dibahagikan sebagai
harta pusaka.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhajal Talibin,
meringkaskan hak-hak yang perlu ditunaikan sebelum pembahagian harta pusaka
adalah seperti berikut:
‘‘Belanja pengebumian ialah tanggungan pertama daripada jumlah harta
pusaka si mati, kemudian hutang piutangnya hendaklah dibayar, kemudian
pemberian wasiat yang diwasiatkan olehnya hendaklah diselesaikan, akan tetapi
hanya setakat satu pertiga daripada harta pusaka selepas menolak hutang
piutang. Yang tinggal dua pertiga ialah hak ahli waris.’’
Ini bermakna, bukan semua harta yang ditinggalkan oleh si mati dikira
harta pusaka yang boleh terus dibahagikan kepada waris. Para waris hendaklah
menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu sebelum membahagikan
harta pusaka kepada waris secara faraid.
Antara yang perlu diambil kira dalam pembahagian harta pusaka ialah:
Belanja menguruskan jenazah.
Menjelaskan hutang si mati.
Wasiat amal jariah.
Harta sepencarian.
Faraidkan bahagian waris.
Sekiranya waris tidak
mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kos pengurusan jenazah dan kebetulan
si mati ada meninggalkan wang tunai, maka hukum syarak membenarkan waris
menggunakan wang si mati atau harta yang ditinggalkan oleh si mati untuk
membiayai kos pengurusan jenazah. Tetapi jangan sampai melampau atau
berlebih-lebihan.
Ini bermakna harta si mati
hanya boleh di gunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah yang perlu
sahaja. Iaitu digunakan untuk:
- Membeli Kain Kafan
- Membeli peralatan mandi jenazah seperti kapur barus ,air mawar dan lain-lain.
- Memberi saguhati kepada tukang mandi jenazah
- Memberi sagu hati kepada tukang gali kubur.
Jumlahnya hendak berpatutan terutamanya sagu hati kepada tukang mandi
dan tukang gali kubur.
Kadarnya janganlah terlalu rendah, kerana mereka melakukan tugas
tersebut secara suka rela. Andainya kita beri terlalu rendah, ditakuti kita
menganiaya mereka. Oleh sebab itu, kita boleh tanyakan kepada orang masjid,
berapakah kadar kebiasaannya.
Semoga tidaklah urusan pengurusan jenazah ini diambil kesempatan oleh
orang. Kita sudah perasan ada yang nampak seperti mengambil kesempatan di atas
kesedihan dan kejahilan orang. Ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah
keluarga, maka ramai yang menawarkan perkhidmatan pengurusan tapi upah yang
dikenakan amat tinggi. Sudahlah keluarga itu dalam kesedihan kerana kehilangan
ahli keluarga, mereka kena mencari wang pula untuk menguruskan jenazah si mati.
نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
iaitu
bahagian yang telah difardhukan
Apabila dikatakan pembahagian itu fardhu, maka kenalah kita ikut dengan
tepat. Pembahagian itu telah ditentukan oleh Allah maka kena ikut dan tidak
boleh gunakan akal untuk mengubahnya.
Oleh kerana itu, cara pembahagian itu tidak boleh kita buat sendiri
kerana telah ditetapkan oleh Allah. Malangnya masyarakat kita ada
buat kesalahan ini. Mereka telah membahagikan harta itu sama rata, dengan
alasan kononnya semua setuju. Tapi tidak sebenarnya.
Kita sahaja yang kata semua setuju, tapi dalam hati siapa yang tahu?
Mungkin di mulutnya dia kata dia setuju, kerana dia malu hendak kata ‘tidak
setuju’ pula kerana orang lain semua sudah setuju. Dia takut kalau dia seorang
sahaja kata tidak setuju, nanti dikatakan dia tamak harta pula. Maka, dia pun
cakaplah di mulutnya yang dia setuju, tapi dalam hatinya dia tidak setuju.
Tiada keberkatan dalam harta yang tidak dibahagikan dengan cara faraid.
Mungkin ada yang dapat lebih banyak dari yang sepatutnya, tapi kerana tidak ada
keberkatan, harta yang banyak itu akan hancur sendiri.
Apakah hukumnya menukar ketetapan Allah itu? Kalau ada yang tukar
pembahagian itu kerana dia rasa pembahagian cara Allah itu tidak adil, itu
sudah murtad. Murtad bukan perkara main-main. Itu sebab kita kata, untuk keluar
dari Islam, bukan kena tolak semua ayat Quran, tolak satu ayat Qur’an pun dah
boleh murtad dah.
Kalau dia bahagi harta itu tidak ikut cara faraid, tapi dalam masa yang
sama dia kata Allah buat dah elok dah, tapi kerana semua penerima telah
bersetuju itu adalah cara yang mereka kehendaki dan dia ikut sahaja, itu
berdosa besar.
Kalau nak beri sama rata juga, mungkin kita kasihan kepada adik
perempuan kita yang dapat kurang dari kita, ada caranya. Mulanya bahagikan
harta itu ikut cara faraid dulu, dan apabila kemudian harta itu telah jadi
hak masing-masing dengan bahagian yang mereka patut terima, maka kepada mereka
yang nak beri kepada sesiapa sahaja, berilah.
Sebab harta itu sudah jadi hak dia, dan kalau dia nak beri semua pun
boleh. Kalau dia buat begitu, dia akan dapat pahala kerana telah mengamalkan
hukum Allah, dan dia akan dapat pahala sedekah kerana telah mengeluarkan
hartanya untuk diberikan kepada orang lain – ahli keluarga sendiri adalah orang
yang paling layak terima pemberian dari kita dahulu.
Kalau dia beri sesudah dia mendapat bahagiannya, barulah ada ikhlas.
Iaitu setelah harta itu jadi dia punya. Kerana kita kena ingat, disebabkan oleh
harta, adik beradik boleh berkelahi, suami isteri boleh bercerai. Jadi, Allah
telah mudahkan dengan memberi jalan ketetapan apakah yang perlu dilakukan.
Iaitu tidak perlu kita berkelahi siapa dapat banyak mana, kerana Allah telah
tetapkan siap-siap.
Jadi dalam ayat ini ada mengandungi lima hukum utama:
1. Lelaki dan wanita dua-dua
ada hak kepada harta peninggalan si mati.
2. Harta sikit atau banyak kena
dibahagikan. Kalau pun ia sehelai kain, maka itu pun tetap kena dibahagikan.
Kalau sedikit dan tidak mahu dibahagikan, maka pihak yang lain boleh membeli
bahagian dari orang lain.
3. Harta peninggalan itu
termasuk dalam semua harta, sama ada harta itu pakaian atau tanah. Semua kena
dibahagikan.
4. Harta faraid ini
berkuatkuasa selepas tuan harta itu meninggal.
5. Kaum kerabat juga berhak
dapat harta pusaka.
Ayat
8: Hukum keenam. Ini adalah berkenaan kaum kerabat
yang bukan termasuk dalam golongan ashabul furud. Ini
adalah apa yang perlu dilakukan jikalau semasa membahagikan harta pusaka kepada
yang layak menerimanya, ada golongan lain yang datang.
Sama ada yang datang itu adalah kaum kerabat yang jauh sikit atau anak
yatim.
وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
MALAY
Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak
yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu,
maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka
dengan kata-kata yang baik.
وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ
Dan
apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta
orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu,
Ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini: Kaum keluarga, anak-anak
yatim dan orang-orang miskin. Ayat ini mengajar kita apa yang perlu kita
lakukan jikalau mereka ada yang datang semasa الْقِسْمَةَ – majlis pembahagian harta pusaka. Mungkin mereka dengar yang harta
pusaka akan dibahagikan pada hari itu dan mereka datang mungkin mengharap
jikalau ada bahagian untuk mereka.
Kalimah الْقُرْبَىٰ dalam ayat ini bermaksud
kaum kerabat yang jauh sikit. Kerana kaum kerabat adik beradik yang dekat,
memang sudah termasuk dalam bahagian penerima harta pusaka.
Maka, apakah yang patut kita lakukan untuk mereka?
فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ
maka
berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya,
Berilah sedikit rezeki kepada mereka. Tapi, bukanlah beri dari
bahagian harta yang dibahagikan itu. Iaitu cuma jamu mereka makan dari harta
yang lain. Itu sebagai tanda kita syukur kita dapat harta percuma. Kerana harta
yang kita dapat itu bukan harta dari usaha kita pun, dapat percuma sahaja.
وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
dan
berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Berilah mereka jamuan makanan dan bercakap baiklah dengan mereka. Jangan
halau atau malukan mereka. Jangan hampakan mereka. Kata kepada mereka, harta
pembahagian itu baru sahaja dapat, tapi kita akan beri mereka makan dan jamuan
sebagai tanda syukur.
Kita katakan bahawa pemberian rezeki itu dari harta yang lain, bukan
dari harta pusaka yang baru dibahagikan itu. Ditafsir begini supaya ayat ini
tidak termasuk dalam ayat yang mansukh. Kerana memang ada pendapat yang
mengatakan yang ayat ini sudah mansukh. Begitu pun, ada juga yang kata
ayat ini tidak mansukh.
Orang kata ayat ini telah mansukh, mereka mengatakan lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ adalah kaum kerabat yang bukan ahlul furud, iaitu kerabat jauh. Mereka
kata kalau dulu, boleh diberikan bahagian dari harta pusaka itu dan ayat itu
telah dimansukhkan.
Oleh itu, pada mereka, kalau beri sebahagian dari harta pusaka, ianya
atas dasar sunat sahaja, kerana kalau beri atas dasar fardhu, tidak ada kerana
telah dimansukhkan.
Ada juga ulama yang kata tidak mansukh. Mereka meletakkan makna yang
sesuai. Mereka mengatakan yang lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ bermaksud kerabat yang
boleh terima pusaka. Dan anak-anak yatim yang datang pun adalah mereka yang
boleh terima pusaka. Dan mereka datang pun untuk ambil bahagian mereka.
Kepada mereka, kita beri makan dulu dan kata kepada mereka bahawa harta
yang banyak tu kena tunggu apabila mereka dah besar nanti. Oleh itu,
maksud beri rezeki itu adalah jamu mereka dengan harta pusaka yang ada hak dia.
Oleh itu, kita boleh lihat ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Kalau
zaman sekarang, mungkin tidak ada. Sebab sekarang pemberian harta pusaka
selalunya tertutup. Dan mereka yang patut terima harta pusaka itu telah
tahu yang mereka akan dapat harta pusaka. Allahu a’lam.
Ayat
9: Allah beri motivasi kepada kita untuk menjaga kepentingan
anak-anak yatim itu. Kerana kita pun ada anak juga, maka kita kena fikirkan.
Allah beri perumpamaan: apa kata kalau kamu yang mati dan anak-anak kamu
kecil lagi? Tentu kamu mahu hak mereka dijaga, bukan? Maka kita kenalah jaga
hak anak orang lain dengan baik. Kerana kalau anak kita jadi macam itu, kita
pun mahu anak kita dijaga haknya.
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And let those [executors and guardians] fear [injustice] as if they
[themselves] had left weak offspring behind and feared for them. So let them
fear Allāh and speak words of appropriate justice.
MALAY
Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika
ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang
mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan
keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah,
dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ
Dan
hendaklah takut orang-orang, yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan
anak-anak yang lemah di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa
bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka;
Kita hendaklah bimbang memikirkan siapa yang akan jaga anak
kita yang lemah kalau kita sudah tiada nanti. Kalau kita tidak
jaga hak anak orang lain, siapa pula yang akan jaga hak anak kita kalau kita
tiada nanti?
Oleh itu, penjagaan harta anak-anak yatim mestilah dijaga oleh semua
orang. Kerana semua orang ada anak juga, dan ada kemungkinan kita mati sebelum
anak-anak itu membesar dan belum mampu untuk menjaga diri mereka. Ini adalah
pengajaran pertama.
Pengajaran kedua, kita hendaklah risaukan keadaan anak-anak kita selepas
kita tiada nanti. Kalau mereka kecil dan tidak mampu mencari rezeki sendiri,
apakah nanti nasib mereka? Maka, tinggalkanlah sesuatu dalam bentuk harta
kepada mereka, jangan biarkan mereka tidak ada harta langsung.
Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mahu infak harta mereka lebih dari
1/3. Sedangkan mereka ada anak-anak kecil yang memerlukan keperluan. Dikatakan
bahawa asbabun nuzul ayat ini adalah kisah Sa’ad bin Abi Waqas yang mahu
memberikan keseluruhan hartanya dalam wasiat. Sabda Rasulullah s.a.w.
kepada Sa’ad bin Abi Waqas yang bermaksud:
“Sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak, sesungguhnya lebih baik bagi
kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam
keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini juga menjadi dalil bahawa kalau kita tahu ada orang yang
melakukan wasiat yang tidak patut, maka kita kena tegur dia. Dan kalau ada
pembahagian harta pusaka yang tidak patuh syariah, pun kita kena tegur.
فَلْيَتَّقُوا اللهَ
oleh
itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah,
Maksudnya, kenalah lihat ketetapan yang Allah telah letakkan kepada
kita. Kita kena pastikan hak-hak penerima harta itu sampai kepada mereka. Kalau
kita lihat ada kekurangan di mana-mana, hendaklah kita tegur.
Sama ada kita lihat seseorang tidak menjalankan tugasnya menjaga harta,
membahagikan harta, malah kalau kita nampak seseorang memberi hartanya terlalu
banyak sampaikan boleh menyebabkan warisnya tidak tinggal apa-apa. Kita kena
ambil tindakan kalau perkara itu berlaku di depan mata kita.
وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
dan
hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul
Kalimah قَوْلًا سَدِيدًا bermaksud ucapan baik yang
menepati syariat. Berkatalah dengan baik kepada mereka.
Ini adalah hukum kepada mereka yang menjaga anak-anak yatim. Kerana
apabila ibubapa meninggal, maka hartanya itu akan diuruskan oleh walinya atau
mereka yang telah diamanahkan oleh mahkamah untuk menjaga harta itu. Mereka
yang memegang amanah itu, kena urus harta itu dengan baik.
Yang penting, kena takut kepada Allah. Kerana Allah melihat apa yang
kita lakukan. Dan dalam masa yang sama, wali kena jelaskan kepada anak-anak
yatim bahawa mereka hanya menjaga harta itu sahaja dan akan memulangkan harta
itu kepada anak yatim itu apabila sudah sampai masanya. Sekarang tidak boleh
lagi kerana belum sesuai. Kata-kata ini adalah contoh kata-kata yang menepati
syariat.
Kata سَدِيدًا berasal dari katadasar yang
bermaksud ‘dinding’. Kalau dinding rumah kita, kita akan jaga dan kalau ada lubang, kita
akan tampal supaya tidak retak. Jadi قَوْلًا سَدِيدًا telah menjadi satu makna
yang membawa maksud kata-kata yang jelas, tepat, tidak bengkang bengkok, tidak retak dan
tidak ada lubang padanya.
Ayat ini boleh juga bermaksud, kalau ada anak yatim yang tanya kita:
adakah kita dapat harta pusaka, jangan pusing kata tak dapat pula. Beritahulah
dengan benar. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kadang-kadang
anak-anak yatim dan keluarga ada datang apabila mereka tahu yang ada majlis
pembahagian harta pusaka.
Beritahulah yang kita memang ada dapat harta pusaka, nanti kita beri
kepadanya sedikit, kalau dia tidak layak dapat harta itu. Kerana anak yatim
selalunya orang susah dan mengharap bantuan dari kita. Mungkin dia ada dengar
kita dapat harta percuma, maka dia mengharap kalau dapat sedikit infak dari
kita.
Persoalan sekarang, adakah kita tahu anak-anak yatim dalam kalangan
masyarakat kita? Kalau masyarakat kita tidak rapat dan tidak bersuai kenal
dengan orang dalam qariyahnya, macam mana nak tahu mana satu anak yatim?
Sebab itu kena bercakap-cakap dan bertanya khabar dengan masyarakat
sekeliling kita. Tanya khabar mereka, ambil tahu keperluan mereka. Bantulah
mereka dimana kita boleh bantu. Jangan takat angkat tangan sahaja bagi salam
sahaja. Jangan tunggu mereka datang meminta-minta kepada kita kerana mereka pun
tentu malu nak cakap dan meminta-minta kepada kita.
Kita yang kena mulakan beri pertolongan. Macam dalam ayat sebelum ini,
tidak disebut pun mereka minta, cuma disebut mereka hadir sahaja semasa majlis
pemberian harta pusaka itu. Kitalah yang kena faham sendiri.
Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Dan
salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata
yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.
Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di
dalam ayat ini:
a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang
disebut dalam Nisa:5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan
kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun
tidak faham.
b. Qawlan Sadeedan: seperti yang
disebut dalam dalam ayat ini. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat.
Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan
jangan sorok perkara yang kita tahu.
c. Qawlan Baleeghan: seperti yang
disebut dalam Nisa:63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi
kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka.
Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.
d. Qawlan Kareeman: seperti yang
disebut dalam Isra’:23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang
sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka
salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila
hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka
dan dengan orang lain pun dengan adab.
e. Qawlan Maisooran: seperti yang
disebut dalam Isra’:28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’:28
ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta.
Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan
kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah
difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang
mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.
f. Qawlan Layyinan: seperti yang
disebut dalam Taha:44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang
ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan
kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha:44 ini arahan Allah
kepada Nabi Musa untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah.
Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.
Ayat
10: Takhwif ukhrawi kepada mereka yang memakan harta anak yatim dengan
cara yang zalim.
إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who devour the property of orphans unjustly are only
consuming into their bellies fire. And they will be burned in a Blaze [i.e.,
Hellfire].
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara
zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan
mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا
Sesungguhnya
orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim,
Mereka dikatakan makan dengan cara yang zalim sebab mengambil dengan
cara salah. Bukanlah langsung tidak boleh makan harta itu sebab ada cara yang
adil. Ini disebut dalam ayat-ayat yang lain.
إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا
sebenarnya
mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka;
Mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim itu
diibaratkan dalam ayat ini seperti menelan api neraka. Kita kena ingat, apabila
disebut ‘makan api’, ianya lebih teruk kalau dibandingkan dengan dikenakan
dengan api yang di luar. Kerana apabila makan, bermaksud ia masuk ke dalam
perut.
Mereka ini akan dibangkitkan kelak di akhirat dengan api keluar dari
mulut dan perut mereka! Bahkan telinga dan mata mereka juga akan mengeluarkan
api. Ini adalah kerana memang mereka telah makan api yang sebenarnya. Di dunia
memang mereka tidak perasan tapi mereka akan mengalaminya di akhirat kelak.
Mereka yang memakan yang mengambil harta anak yatim dengan cara yang
salah, tidak akan berkat harta itu.
Di dalam kitab Sahihain melalui hadis Sulaiman ibnu Bilal.dari Saur ibnu
Zaid, dari Salim Abul Gais, dari Abu Hurairah, disebutkan bahwa Rasulullah Saw.
pernah bersabda:
«اجْتَنِبُوا
السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ:
«الشِّرْكُ بِاللهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ
إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي
يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ»
“Jauhilah oleh kalian tujuh
macam dosa yang membinasakan.” Ditanyakan, “Apa sajakah dosa-dosa itu, wahai
Rasulullah?” Beliau Saw. menjawab, “Mempersekutukan Allah. Sihir,
membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak, memakan
riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh berzina
wanita-wanita mukmin yang memelihara kehormatannya yang sedang lalai.”
وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
dan
mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
Mereka pasti akan masuk neraka kerana kalau dah makan api neraka,
tentulah makan api neraka itu di dalam neraka.
Habis Ruku’ 1 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung
ke ayat yang seterusnya.
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul
A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an,
Mufti Shafi Usmani
سبحانه وتعالى
صَلَّى ٱللّٰهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ
رضي الله عنه
عَلَيْهِ السَّلَامُ


No comments:
Post a Comment